Operasi sanitasi awam atau nyah cemar COVID-19 di semua daerah di negeri Johor akan berlangsung sehingga 14 April, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R. Vidyananthan.

Beliau berkata operasi itu telah dijalankan di beberapa lokasi ditetapkan sekitar kawasan Kampung Sinaran Baru, Kempas serta enam zon di Bandar Baru Simpang Renggam, Kluang, semalam, dan akan diperluaskan di kawasan dan daerah lain secara berperingkat.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama SWCorp akan melaksanakan operasi sama ke semua daerah dan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berperingkat bermula 31 Mac hingga 14 April 2020," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di Facebook Makmur Johor, hari ini.

Vidyananthan berkata pegawai kesihatan di setiap daerah akan menetapkan lokasi-lokasi dikenal pasti yang memerlukan operasi sanitasi awam terutamanya di lokasi yang merekodkan jumlah kes positif tinggi, serta lokasi tumpuan orang ramai.

Mengenai penduduk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau sekali lagi menasihati mereka supaya tidak risau kerana bekalan makanan asas yang diagihkan mencukupi serta diuruskan dengan baik oleh jabatan dan agensi dipertanggungjawabkan.

"Saya berharap semua penduduk kawasan terbabit supaya bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Vidyananthan, purata peratusan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini semalam mencatatkan 96.42 peratus iaitu meningkat sedikit berbanding 96.07 peratus sehari sebelumnya.

Beliau memohon orang ramai supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan PKP bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.-- BERNAMA