Peguam Negara Tommy Thomas hari ini menegaskan prosiding tribunal berhubung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diadakan pada Isnin (28 Jan) bukan sekadar bersifat akademik.

Menurut beliau, banyak salah konsep dan salah maklumat telah timbul berkenaan prosiding tribunal itu.

"Sememangnya anggota-anggota SPR telah meletak jawatan - lima pada 18 Okt 2018, dan seorang lagi pada 27 Nov 2018. Semua peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Jan 2019.

"Peletakan jawatan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong masing-masing pada 26 Okt 2018 dan 29 Nov 2018," katanya dalam kenyataan media bagi memperjelaskan kedudukan Jabatan Peguam Negara berhubung isu awalan yang dibangkitkan Pengerusi Tribunal (Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong).

Tommy berkata terdapat empat sebab mengapa prosiding di hadapan tribunal itu bukan akademik; iaitu mandat dwiganda, penelitian dan siasatan, tindakan sengaja dan kesan sebenar.

Berhubung mandat dwiganda, Tommy berkata memandangkan tribunal itu ditubuhkan menurut Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan dengan dua mandat yang berasingan, iaitu: pertama, untuk menyiasat tindakan anggota SPR, sebelum dan pada hari mengundi 9 Mei 2018, berkenaan persiapan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bagi menentukan sama ada terdapat salah laku; dan kedua, sekiranya berpuas hati sebegitu untuk membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tindakan yang boleh diambil terhadap mereka, termasuk pemecatan daripada jawatan.

"Berdasarkan mandat-mandat ini, tribunal perlu terlebih dahulu menjalankan siasatan berkenaan perbuatan anggota-anggota SPR seperti yang dinyatakan dalam 13 pertuduhan terhadap mereka bagi menentukan fakta berkenaan isu salah laku. Pertuduhan-pertuduhan ini amat serius, dan sekiranya dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan anggota-anggota SPR dalam cara pengelolaan PRU14.

Tribunal akan menyiasat tindakan mereka sebelum dan pada hari mengundi (9 Mei 2018), iaitu semasa anggota-anggota ini masih memegang jawatan dalam SPR, katanya.

Selain itu, mereka tidak terlepas daripada penelitian dan siasatan tribunal semata-mata kerana telah meletakkan jawatan dan hukuman tribunal mungkin tidak hanya terhad kepada syor pemecatan jawatan, yang merupakan hukuman paling ekstrem.

Malahan tribunal boleh mengemukakan syor lain secara alternatif menurut bahagian kedua mandat, katanya.

Tommy berkata jelas bahawa peletakan jawatan anggota SPR berkenaan merupakan langkah yang sengaja diambil bagi menggagalkan siasatan tribunal, dan untuk mengelakkan aib jika dipecat nanti, serta segala kesan yang menyusuli.

"Peletakan jawatan anggota-anggota SPR itu dibuat sebaik sahaja terdapat laporan bahawa kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal, namun tarikh letak jawatan dilewatkan secara sepihak kepada 1 Jan 2019," katanya.

Beliau berkata dari segi kesan sebenar pula, hasil keputusan prosiding tribunal itu boleh membawa implikasi kewangan yang langsung kepada hak dan faedah persaraan yang mereka tetap terima walaupun meletakkan jawatan, tetapi mungkin tidak menerimanya jika dipecat.

"Namun demikian, akhirnya tribunal bebas untuk membuat keputusan berkenaan isu awalan, seperti yang diingini dan untuk membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

Enam bekas ahli SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

-- BERNAMA