Sektor pelancongan boleh dikatakan sektor pertama terjejas dan mungkin akan menjadi yang terakhir untuk pulih pasca wabak COVID-19.

Justeru pengusaha industri pelancongan perlu mengadaptasi dengan normal baharu bagi memastikan semua risiko dapat ditangani dengan baik.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, kemelesetan ekonomi dunia ketika ini tidak boleh dielakkan lagi, memaksa pengusaha mencari alternatif lain atau berdepan risiko kerugian.

"Pendapatan rakyat berkurangan, jadi kita faham mengapa melancong bukan satu kepentingan. Tetapi itu tidak bermakna kita harus duduk diam sahaja.

"Promosi perlu diteruskan. Apa yang kita rancang sekarang ialah promosi pakej-pakej menarik bermula Jun hingga Disember ini.

"Lebih baik jika kerajaan dapat turun padang membantu, mungkin adakan insentif cukai, baucer dan sebagainya," katanya ketika ditemuramah dalam program Buletin AWANI, pada Rabu.

Pengusaha, kata Tan, perlu menyedari tentang keperluan mengadaptasi perniagaan mereka ke normal baharu dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

"Melancong selepas ini memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dan lebih ketat. Overcrowding sudah tentu perlu dielakkan. Tempat-tempat yang biasanya menerima kunjungan ramai, kini perlu mengehadkan jumlah pengunjung.

"Begitu juga pengangkutan seperti bas dan syarikat penerbangan, tak boleh bawa ramai penumpang dalam satu-satu masa.

"Apabila ini terjadi, sama ada syarikat perlu naikkan harga atau alami kerugian," tambahnya.

Mengunjurkan setahun sebagai tempoh yang akan diambil sektor pelancongan untuk pulih, Tan berkata pihak MATTA mencadangkan agar moratorium dilanjutkan untuk membantu pengusaha.

"Kita melihat ke depan dan memang sektor pelancongan akan melalui tempoh yang sukar. Justeru kami akan membuat rayuan kepada kerajaan agar melanjutkan tempoh moratorium dan sokongan terhadap 'staff retention program' bagi membantu industri pelancongan," ujarnya.