Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) melihat bidang keusahawanan sebagai kelebihan kepada graduan yang mencari peluang pekerjaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Hatta Md Ramli menjelaskan, promosi itu dilakukan pihaknya di kampus selain program turun padang di setiap negeri.

"Untuk Protege, kita libatkan peserta lepasan sekolah, jadi dengan program begini kita turun ke kampus untuk membuka maklumat ini kepada pelajar, dan mudah-mudahan ia menjadi sumber kepada program kita.

"Di luar sana kita promosi dengan media dan memaklumkan program keusahawanan selain mengadakan siri program keusahawanan di bawah agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, kita akan ke negeri-negeri," katanya semasa sidang media selepas Program Fly High di Universiti Islam Antarabangsa di sini, pada Selasa.


BACA: PROTEGE buka peluang keusahawanan kepada golongan belia

BACA:
Kerajaan rancang pelbagai program bantu usahawan - Mohd Redzuan

Protege yang dilancarkan pada 28 Januari lepas merupakan satu program latihan keusahawanan dan kebolehpasaran.

Ia membentuk dan membimbing belia dengan kerjasama pakar industri dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif dan bersedia ke pasaran global serta pencari kerja yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Protege, Norashikin Ismail berkata, pihaknya akan menjelajah 13 universiti sepanjang April ini untuk mempromosi Protege.

"Kita tambah bidang keusahawanan, untuk graduan di luar sana, kita ada peluang pekerjaan, sama ada mencipta kerjaya atau pekerjaan.

"Kita akan menatang penuh janji untuk memberi pertolongan kepada usaha dan jati diri, komitmen anak muda kena ada," jelasnya.

Protege memperkenalkan lapan elemen atau silibus dalam usaha mengalakkan graduan menceburi bidang keusahawanan selain peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

Ia termasuk program Protege Entrepreneurship Intern, Protege Boot Camp, Protege Business Accelerator, Protege Co-op, Protege ICT, Protege Ready To Work, Protege Booster dan Protege for Industry.