Perhimpunan Gerakan Baju Merah yang diadakan di depan bangunan pejabat portal berita Malaysiakini di sini hari ini berlangsung selama kira-kira dua jam tanpa sebarang insiden kekacauan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata perhimpunan lebih 1,000 peserta Baju Merah itu bermula kira-kira 2 petang.

"Kita telah menempatkan 600 anggota untuk mengawal, menjaga ketenteraman awam dan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan memandangkan terdapat kemungkinan ada beberapa syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak dipatuhi mereka.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata pihaknya yang menganjurkan perhimpunan berkenaan tidak memasuki premis portal berita itu kerana menghormati tugas polis serta mematuhi undang-undang negara.

"Kami berhasrat untuk berjumpa pihak pengurusan tetapi polis tidak benarkan dan kami berganjak kerana hormat keputusan polis," katanya.

Turut serta dalam perhimpunan itu Exco Pemuda UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah. -- BERNAMA