Protes tutup pintu sempadan, tiga warga Thailand ditahan

Protes tutup pintu sempadan, tiga warga Thailand ditahan
Tiga suspek terbabit akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan 507 Kanun Keseksaan.
BUKIT KAYU HITAM: Polis kedah menahan tiga lelaki warga Thailand yang dipercayai mempunyai kaitan dengan protes menutup pintu pagar di sempadan Malaysia, menyebabkan kekecohan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, tiga suspek berusia antara 27 hingga 50 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan pasport sah sebelum ditahan pada jam 11.55 pagi.
Menurutnya, tiga suspek terbabit akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan 507 Kanun Keseksaan.

Mior Faridalthrash memaklumkan selepas insiden pada Ahad lalu, polis telah membuka kertas siasatan berhubung protes dengan menutup pintu pagar sempadan yang didakwa berlaku selama 15 minit.

Tindakan itu dilakukan kumpulan penarik motosikal tambang warga Thailand selepas tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap mereka.