Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menolak kegiatan dan kenyataan yang bersifat perkauman yang dilaung-laungkan selepas proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Presidennya Amidi Abd Manan berkata kenyataan dan luahan yang berbaur perkauman tidak melambangkan aspirasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui proses pilihan raya yang baru selesai.

Berikut adalah kenyataan media penuh beliau:

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sebarang bentuk provokasi serta kenyataan-kenyataan berbau perkauman yang diketengahkan pasca PRU-13 yang baru sahaja berakhir.

Abim menilai kenyataan-kenyataan tersebut seakan-akan menafikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang telah mengemukakan undi mereka pada pilihan raya lalu.

PRU-13 menyerlahkan hakikat bahawa trend atau pun pola pengundian kali ini tidak semata-mata dipengaruhi sentimen perkauman sempit. Sebaliknya, keputusan PRU-13 ini menzahirkan sentimen seluruh rakyat Malaysia melangkaui ras perkauman semata-mata.

Hakikat ini merujuk kepada fakta dan statistik oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri serta kesimpulan institusi dan para penganalisis politik yang berwibawa. Pilihan raya adalah hari kebesaran suara rakyat.

Ketika inilah rakyat berpeluang menyambung hak serta kebebasan mereka menyatakan pandangan serta menentukan masa depan mereka. Demokrasi adalah mekanisme penting dalam menjamin keseimbangan dan kestabilan sosio-politik sesebuah negara dapat dipenuhi.

Keharmonian dan kestabilan politik hanya akan tercapai sekiranya aspirasi serta suara setiap segmen masyarakat yang ada dalam sesebuah negara diraikan. Masyarakat Melayu merupakan teras utama politik di tanah air ini.

Kerangka pemikiran politik Melayu seharusnya merujuk kepada Islam yang merupakan perkara utama jati diri Melayu itu sendiri. Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi rasis yang emosi serta sempit.

PRU-13 telah menyaksikan peratus keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah demokrasi Malaysia. Mengambil kesempatan ini, Abim merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan yang tinggi terhadap amalan demokrasi di negara ini.

Sesungguhnya PRU-13 merupakan kemuncak kepada manifestasi kesedaran politik yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Seharusnya suara rakyat ini dihormati serta dimartabatkan menerusi lunas-lunas keterbukaan yang dianjurkan dalam demokrasi.

Sebarang usaha untuk mengaitkannya dengan konspirasi perkauman serta keagamaan yang sempit adalah bersifat “Intellectual Insult” serta hanya akan menjejaskan kestabilan serts keharmonian kaum di negara ini.

Amidi Abd Manan
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)