Pilihan raya umum ke-13 (PRU) mungkin peluang terakhir buat MCA untuk meraih sokongan dan hati pengundi Cina.

Ini kerana, sebarang pengulangan prestasi yang sama pada PRU akan datang bakal memberi kesan buruk khususnya moral parti itu dalam jangka panjang.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor Datuk Theng Bok (gambar) mengakui ia merupakan suatu cabaran besar yang perlu ditangani parti berkenaan.

Beliau yang ditemuramah Astro Awani menjelang Perhimpunan Agung MCA ke-59, menegaskan pemimpin-pemimpin MCA perlu lebih kerap turun padang untuk memperjelaskan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang khususnya DAP. 

Kesungguhan tersebut semakin ketara sejak akhir-akhir ini apabila parti itu kembali bersatu-padu bekerja keras untuk meraih kepercayaan rakyat selepas berlakunya pertukaran kepimpinan.

Justeru, Theng Bok berpendapat, masyarakat Cina masih memerlukan parti itu untuk melaksanakan tanggungjawab dalam memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.

Theng Bok juga menyelar dakwaan pihak tertentu kononnya MCA sudah tidak relevan dalam lanskap politik negara. Sebaliknya, ujar beliau, ia merupakan satu cubaan nekad DAP untuk meracuni masyarakat Cina.

"Masyarakat Cina menyokong DAP bukan kerana mereka suka DAP tetapi kerana pemikiran yang diracun terhadap Barisan Nasional terutama MCA. Kerana itu mereka meyokong DAP," jelas beliau.

"Kita tidak pernah berhenti memberi khidmat kepada rakyat walaupun kita kalah. Tetapi satu peringatan kepada masyarakat Cina atau umum ialah kalau kita kalah kali ini, kita tidak ada semangat yang cukup untuk memberi perkhidmatan dan kita harus mendapatkan satu landasan untuk terus memberikan perkhidmatan yang sewajarnya."
Sebelum ini, MCA melalui presiden partinya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan partinya tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kabinet jika terus dipinggirkan oleh masyarakat Cina.