Berita baik buat rakyat Malaysia pulang mengundi di Sabah dan Sarawak 9 Mei ini!

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia menawarkan tambang khas untuk penerbangan ke semua laluan domestik termasuk Sabah dan Sarawak untuk tempahan pada 8 dan 9 Mei ini bagi memudahkan rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Tambang sehala ditetapkan kepada RM99* untuk laluan dalam Semenanjung Malaysia dan RM129* untuk laluan dari Semenanjung ke Sarawak serta RM199* untuk laluan dari Semenanjung ke Sabah, untuk tempahan baharu sahaja dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Bhd dan CEO Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes turut membuat pengumuman itu di laman Twitternya malam Khamis.

Tweet beliau mendapat respon positif daripada netizen yang memuji tindakan yang diambil ini sebagai tanggungjawab syarikat penerbangan itu untuk rakyat.


Pada masa yang sama, AirAsia turut mengumumkan bahawa laluan dalam Semenanjung Malaysia pula ditetapkan kepada RM99.


Beliau turut mengumumkan akan mengguna pakai pesawat lebih besar milik AirAsia X, jenis A330 untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada tarikh tersebut bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan.


Tambah Tony, AirAsia akan turut membekukan tambang bagi baki tempat duduk yang masih belum terjual setakat ini bagi penerbangan-penerbangan tempoh tersebut dan menyelaraskannya pada satu tambang serta menambah bilangan kerusi.

Bagi laluan ke Sabah, AirAsia terbang ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau manakala bagi Sarawak - Kuching, Bintulu, Miri serta Sibu.

Tempahan dengan tambang khas ini boleh dibuat di laman web www.airasia.com

Tempoh perjalanan telah dilanjutkan dari 8 ke 10 Mei 2018 untuk tawaran tambang tetap dan hanya sah untuk tempahan baharu sahaja.

AirAsia dalam satu kenyataan menasihatkan penumpang untuk tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan, dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih untuk kemudahan mereka.

"Perkhidmatan tersebut boleh didapati 14 hari sebelum waktu pelepasan dan sehingga 1 jam sebelum.

"Bagi para tetamu yang mempunyai bagasi daftar masuk, mereka dinasihatkan untuk tiba lebih awal untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi mereka sebelum ke pintu masuk," kata AirAsia.

Dalam Semenanjung Malaysia / Sabah dan Sarawak

Semenanjung Malaysia-Sarawak

Semenanjung Malaysia-Sabah

*Tambang termasuk semua untuk perjalanan sehala termasuk cukai dan caj. Tertakluk kepada terma dan syarat.