Gelombang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal menjelang mula dirasai dan meniupkan semangat serta kesediaan pelajar luar negara untuk mengundi.

Timbalan Presiden WeMalaysia Australia, Nur Naqiuddin Mdd Nordin berkata, kelazimannya, suasana menjelang pilihanraya seakan sambutan perayaan di kalangan pelajar luar negara selain diserikan dengan warna-warni manifesto parti yang bertanding.

"Dalam hal ini, tumpuan lensa pastinya tertumpu pada golongan muda yang bakal menjadi penyumbang terbesar undi dalam pilihanraya kali ini.

"Golongan muda adalah katalis perubahan sejajar dengan sistem pemerintahan demokrasi negara.

"Kesedaran mengundi adalah bukti warganegara Malaysia di luar Malaysia juga mempunyai peluang untuk memilih dan menunaikan amanah kepada negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Nur Naqiuddin memberitahu, ucapan itu diberikan semasa majlis pertemuan sempena program Meet and Greet New South Wales (NSW) di Sydney baru-baru ini.

Naqiuddin yang merupakan pengerak utama dalam WeMalaysia Australia turut mengumumkan akan menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh dengan pertubuhan belia di sana.

"Pertubuhan yang bakal berkolaborasi dengan WeMalaysia dalam memperkasa patriostisma antaranya Malaysian Organization of Volunteers (MOVE).

"MOVE adalah pertubuhan sukarelawan yang berpusat di Sydney. Organisasi ini terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi yang menetapkan aspirasi merealisasikan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di luar negara," jelasnya.

Dalam majlis sama, Presiden MOVE, Kenny Ng Wi Kiat turut menyarankan pelajar Malaysia di luar negara khususnya di Australia bersedia untuk mengundi.

Kenny turut optimis dengan meletakkan kepercayaan warganegara Malaysia menantikan saat untuk keluar bersama-sama mengundi.

"Ini adalah saluran yang betul dan sebenar bagi rakyat memilih kerajaan. Justeru, rakyat terutama golongan muda perlu mengambil masa mengkaji maklumat tentang parti bertanding.

"Pengundi terbaik adalah pengundi yang berpengetahuan dan matang serta menghargai peluang untuk mengundi," ujarnya.

Dalam pada itu, Samsudin Yunus atau dikenali sebagai Abang Sam yang telah menetap di Sydney hampir 37 tahun menasihatkan agar rakyat Malaysia di luar negara agar sedar hak dan tanggungjawab untuk mengundi.

"Walaupun rakyat Malaysia ramai berhijrah ke Australia yang datang menuntut ilmu dan mencari rezeki, namun semangat patriotisme perlu diserlahkan dengan menjalankan tanggungjawab mengundi sebagai tanda sayang kasih kepada tanah air.

"Bersama kita fikirkan dan laksanakan tanggungjawab kita dengan sepenuh hati untuk keluar mengundi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden MOVE, Vishnuu Panickar menyuarakan kebimbangan gerakan kempen yang mengalakkan undi rosak.

"Fenomena ini semakin menjadi-jadi di media sosial dan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi golongan muda.

"Saya merasakan PRU14 kali ini akan berdepan dengan fenomena yang ganjil, iaitu ada gerakan mengalakkan undi rosak.

"Perkara ini seperti sepatutnya tidak berlaku kerana kita kini berada dalam dunia minda kelas pertama yang boleh memikirkan dan membezakan baik buruk sesuatu perkara," tegasnya.

Tambahnya, walaupun satu undi, ia tetap bermakna dan mencerminkan amalan demokrasi negara.

Katanya lagi, PRU14 akan diumumkan bila-bila masa sehingga terbubarnya Parlimen dengan sendiri pada Jun 2018.

"Walau apapun situasi yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam PRU14, tanggungjawab dan hak mengundi adalah dua perkara penting yang perlu difahami, dihayati dan berpisah tiada," ujarnya.

Dalam majlis berasingan, Presiden WeMalaysia Australia, Muhammad Ali berkata, generasi kini adalah wadah dan harapan negara dalam melestarikan kejayaan pada masa depan.

"Tumpuan lensa tertumpu pada golongan muda memandangkan mereka adalah pencetus era teknologi masa kini yang disandarkan melalui artificial intelligence (AI) yang akan memberikan peluang generasi kini menerokai banyak peluang masa depan.

"Generasi kini yang berilmu dan mempunyai kemahiran tertentu adalah bukti sistem pendidikan telah mencapai standard tersendiri dalam melahirkan modal insan yang gemilang.

Muhammad Ali berkata demikian dalam program Speak up: Out Of Your Comfort Zone di Colombo Theatre B, University of New South Wales anjuran Kelab UMNO Australia Sydney (KUA).

Muhammad Ali yang menerajui WeMalaysia Australia sejak 2015 turut mengumumkan akan menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh dengan pertubuhan belia di sana.

"Pertubuhan yang bakal berkolaborasi dengan WeMalaysia dalam memperkasa patriostisma antaranya Kelab UMNO Australia Sydney, MOVE dan lain-lain lagi," jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Presiden KUA Sydney, Akmal Hisyam menyarankan pelajar Malaysia di luar negara khususnya di Australia sentiasa bersedia positif untuk tampil ke hadapan.

"Saya bersikap optimis dengan meletakkan kepercayaan setiap individu dari latar belakang yang berbeza dan kursus program yang berlainan pasti mempunyai hasrat dan apsirasi yang sama.

"Ia adalah menghargai peluang yang diberikan oleh negara mencipta kejayaan akademik dan meningkatkan kemahiran agar berdaya saing di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Program Speak up 2018 yang dianjurkan pada kali ini mendapat sambutan meriah daripada pelajar pelbagai kaum yang menuntut di Sydney.

Sepuluh orang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan telah menunjukkan kehebatan masing masing berucap dan berhujah berlandaskan aspirasi out of comfort zone.

Dalam pertandingan itu, juara keseluruhan dimiliki oleh Muhammad Haris Zakaria Ahmad, pelajar perubatan UNSW dengan topik ‘Persoalan Me’ yang membangkitkan semangat anak muda dalam mengangkat diri ke minda kelas pertama.

Pemenang Anugerah Khas Presiden WeMalaysia dianugerahkan kepada Nurhidatul Wahidah Ahmad dengan topik jati diri dan keberanian adalah penting dalam meletakkan diri sama hebat dengan bangsa lain di negara luar yang menjadi tumpuan juri.

Pemenang Anugerah Khas Pengarah Education Malaysia Australia pula menjadi milik Afiq Ramizi.

Beliau merupakan satu satunya pelajar tahun pertama menarik minat juri dengan kepetahan berhujah di hadapan penonton.

Majlis dihadiri oleh Pengarah Education Malaysia Australia (EMA), Khalil Zaiyany, Pengarah MARA Australia New Zealand, Zuriat Tajuddin dan Atase Pendidikan EMA.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).