Sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa telah mengadakan konvoi bermotor secara besar-besaran bagi mengajak anak muda khusus pelajar UIAM untuk turun mengundi pada 9 Mei ini.

Presiden MPP, Amir Ridhwan berkata konvoi tersebut dianjurkan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran anak muda untuk terlibat dalam sistem demokrasi negara serta memastikan tingkah laku baik ditonjolkan sepanjang mereka berkempen.

“Konvoi ini bertujuan untuk menggalakkan anak muda mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini kerana golongan muda merupakan penentu masa depan Malaysia.

“Selain itu, konvoi ini turut menekankan pentingnya kepada setiap penyokong dan pengundi parti supaya menunjukkan perlakuan yang baik kerana ia selaras dengan rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan,” kata Amir ketika dihubungi Astro AWANI hari ini di sini.

Presiden MPP, Amir melakukan kempen jom mengundi di sekitar Gombak. -Foto Facebook/SRC Gombak-Pagoh

Konvoi bermotor yang disertai kira-kira 30 pelajar UIAM semalam telah mendapat sambutan positif dalam kalangan anak muda mahupun orang awam sekitar Gombak.

“Ini merupakan konvoi kami kali yang kedua selepas 20 April lalu dan rata-rata pelajar dan orang awam memberi reaksi positif kerana sebahagiannya memberi perhatian terhadap mesej yang kami sampaikan,” tambah Amir lagi.

Semua peserta konvoi bermotor mengibarkan bendera setiap negeri sebagai acara penutup. -Foto Facebook SRC Gombak-Pagoh

Konvoi itu telah melakukan jelajah dalam universiti berkenaan dan beberapa kawasan sekitar Gombak semalam.

PRU14: UIAM cuti 8 hingga 10 Mei


Terdahulu, Rektor UIAM telah mengumumkan cuti 8 hingga 10 Mei sebagai hari pelepasan am buat pelajar UIAM.