Seramai 1,131 individu yang berpotensi mencetuskan kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kini dipantau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata daripada jumlah itu, seramai 31 individu dikenal pasti di Terengganu.

Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang dikesan menimbulkan kekecohan sepanjang proses pilihan raya berlansung.

"Kita bukan hendak menimbulkan ketakutan ataupun hendak mengugut sesiapa, tetapi kita pasti mereka berpotensi untuk menimbulkan masalah semasa pilihan raya nanti, jadi kita pantau.

"Kita akan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Saya tidak boleh buat perkara ini sewenang-wenangnya. Begitu juga pegawai dan anggota saya di seluruh negara. Kita hanya akan ambil tindakan tegas jika keadaan benar-benar mendesak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Menteri Besar Terengganu sempena Peringatan Hari Polis ke-211 dan penyerahan sumbangan Tabung Kebajikan Polis di Kuala terengganu pada Selasa.

Menurut Mohamad Fuzi, sebanyak 171 kawasan panas atau hot seat telah dikenal pasti di seluruh negara.

Tambahnya, lebih 70,000 anggota polis akan ditugaskan sepanjang pilihan raya nanti.