Peluang berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU14) digunakan sepenuhnya oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, untuk meyakinkan penduduk berhubung pembatalan projek tambak laut sekiranya BN berjaya menawan semula Pulau Pinang.

Dr Hilmi, dalam siri kempennya, mengulangi pendirian bahawa BN akan berpegang pada janji untuk membatalkan projek menambak laut di kawasan selatan negeri itu yang bakal menjejaskan kira-kira 1,500 nelayan.

Malah katanya, projek tebusguna tanah seluas 4,500 ekar (1,800 hektar) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri DAP juga akan mengganggu ekosistem kehidupan laut.

Menurut Dr Hilmi lagi, selain kaya dengan hasil laut seperti siput, udang dan ikan, kawasan itu, khususnya di Gertak Sanggul, juga merupakan kawasan pembiakan hidupan laut.

"Di sinilah tempat nelayan cari makan sepanjang tahun. Kalau ditebusguna tanah, habis hancur. Tempat pembenihan hidupan laut hilang dan ia akan merosakkan ekosistem kita.

"Kita tak tahan dah dengan Kerajaan Negeri. Kalau kita jadi kerajaan Pulau Pinang, kita akan batalkan projek ini. Kita kena jaga tempat nelayan cari rezeki," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk di kawasan Gertak Sanggul, pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Kerajaan Persekutuan tidak akan menyokong projek tambakan laut di Pulau Pinang sekiranya ia memberi kerugian yang besar sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat di kawasan terlibat.

Menurut Najib, kerajaan mempunyai pendirian dalam meluluskan sesuatu projek dan bukan menolaknya semata-mata atas dasar fahaman politik.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut di Permatang Damar Laut bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.