Sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil membuat tuntutan terhadap wang tunai RM3.5 juta yang didakwa dicuri daripada Pejabat Perdana Menteri oleh seramai 17 pengawal keselamatan pada malam Pilhan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Mereka mendapat maklumat daripada sumber yang dirahsiakan menyatakan sehingga kini tiada laporan dibuat kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kehilangan wang tunai berkenaan, memetik laporan eksklusif portal tempatan.

Bagaimanapun, portal berkenaan menegaskan perkara itu (tiada pihak tuntut wang tunai RM3.5 juta) turut disahkan oleh polis Putrajaya dan SPRM ketika dihubungi hari ini.

"Tiada laporan mengenai wang yang dicuri itu atau apa-apa pun. Pihak berkuasa hanya mula menyiasat pengawal keselamatan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kemewahan mereka.

"Satu lagi sumber mengatakan maklumat itu merupakan sebab mengapa SPRM mengambil alih kes itu dan bukannya polis seperti kebiasaan dalam mana-mana kes kecurian atau pecah masuk," katanya.

Sumber portal berkenaan berkata, atas sebab itulah apabila kes itu dibuka, pihak berkuasa melihatnya sebagai kes rasuah.

Semalam, seramai 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14 berjumlah RM3.5 juta.

Majistret Siti Nabilah Abd Rashid mengeluarkan perintah reman hingga Ahad ini (12 Ogos) selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu, kesemua lelaki berumur antara 31 dan 51 tahun itu tiba di mahkamah pada 9.15 pagi dengan menaiki sebuah bas serta berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Antara yang direman adalah seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38.

Sementara itu, portal berkenaan turut mendapatkan maklum balas daripada Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan dan pihak berkuasa memberitahu tidak menerima sebarang laporan mengenai kecurian atau rompakan wang RM3.5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri.

"Setakat yang saya tahu, tidak ada laporan yang dibuat dengan kami (polis). Mungkin mereka (pemilik wang tunai) melaporkannya kepada SPRM kerana suruhanjaya itu menjalankan siasatan. Cuba semak dengan mereka," katanya.

Portal berkenaan turut menghubungi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengatakan tiada siapa datang ke agensi itu untuk menuntut wang tunai berkenaan.

Ketika ditanya, beliau juga mengesahkan SPRM memulakan siasatan berdasarkan maklumat mengenai pengawal-pengawal keselamatan berkenaan yang dikatakan mempamerkan kemewahan secara tiba-tiba.


Azam, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut dan mengatakan kes itu masih dalam siasatan.

SPRM hari ini telah menyita beberapa lagi aset berharga yang dipercayai hasil penyalahgunaan wang peruntukan PRU14.

Menerusi kenyataan SPRM hari ini, tindakan itu adalah susulan daripada penahanan 17 pegawai dan pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam.

Menurut sumber, sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM ialah wang tunai berjumlah RM978,800, lima kereta , 11 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.

Lima kereta terbabit ialah sebuah Volkswagen Golf GTI, tiga Honda dan sebuah Perodua Alza.

Manakala, 11 motosikal pula terdiri daripada lima buah berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda.