“Kami akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi biarpun terpaksa merangkak ke pusat pengundian kerana mengundi itu satu pengalaman buat kami.”

Itu kata-kata semangat tiga daripada lapan beradik dari Taman Kurnia Jaya dekat sini yang menghidap sejenis penyakit saraf yang menyebabkan mereka hilang upaya.

Bagi Nurulhayat Mohamed, 34 tahun; Nurhafizuddin Mohamed, 27 tahun; dan Norhakimi Mohamed, 26 tahun, demam pilihan raya yang kian terasa tambah menyemarakkan lagi semangat mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Abang sulung Nurulhayat berkata dia pernah keluar mengundi pada Pilihanraya Umum 2008, namun pada Pilihan Raya Umum 2013 dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab kerana kesukaran bergerak, apatah lagi tiada siapa datang menjemputnya untuk melaksanakan tugas sebagai pemilih.

“Ada gundi (mengundi) sebelum ini buleh naik moto masa segar, segar tak leh naik moto tak boleh pergi, 2013, kalu ada pengangkutan ada ore mari ambil boleh pergi insyaallah boleh gi,” katanya kepada Astro AWANI di kediamannya petang tadi.

Adiknya, Nurhafizuddin dan Norhakimi yang menghidap penyakit sama turut meluahkan hasrat untuk membuang undi kali ini.

Norhakimi merupakan pemilih yang buat pertama kalinya akan membuang undi di Dewan Undangan Negeri Panchor dan Parlimen Pengkalan Chepa.

“Pertama kali nak mengundi, tak pernah mengundi lagi, berasa semangat juga tapi tak berapa boleh bergerak ni gak tak semangatlah, tapi nak jugak pergi sebab nak tengok kertas undi," kata Norhakimi.

Sementara itu, ibu mereka Safinah Mohamed, 54 tahun, berkata kesemua anak lelakinya diserang penyakit saraf namun lima anak perempuannya yang berusia dari 33 hingga 14 tahun tidak menghidap penyakit berkenaan.

Safinah yang menghidap penyakit kencing manis kronik dan darah tinggi pula berdepan kehilangan kaki apabila doktor menasihatinya memotong kedua belah kakinya, namun dia enggan disebabkan masalah yang dihadapinya anaknya.

Dia menjelaskan penyakitnya semakin teruk tetapi dia perlu meneruskan pekerjaan bagi menyara ketiga-tiga anaknya itu.

"Memang saya inginkan kerusi roda, nak rumah selesa, kemudahan bilik air tapi tak mampu, tak ada orang mari (pemimpin) kita lah kena gi menadah minta bantuan,” katanya.

Safinah dibantu suami menguruskan kehidupan seharian mereka sekeluarga selain turut sama berniaga di gerai makan.

Mereka 10 beranak kini menumpang di sebuah rumah uzur peninggalan orang tua.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zurina Md Yussof mengakui terlepas pandang keadaan keluarga ini kerana tiada sesiapa memaklumkannya.

Katanya, kedatangan beliau ke rumah Safinah hari ini bukannya untuk berkempen pilihan raya atau meraih undi, sebaliknya untuk melihat keperluan keluarga ini selepas dimaklumkan oleh penghulu kampung berkenaan.

“Bagi saya membantu sepanjang masa, sebagai pemimpin kena tahu keperluan rakyat saya bersama wanita dua penggal memang tugas kami membantu tanpa mengira musim, cumanya terlepas pandang mungkin masyarakat tahu tapi kami tak tahu,” katanya.