PT3: Sekolah boleh nilai sendiri kemampuan pelajar - Alimuddin

PT3: Sekolah boleh nilai sendiri kemampuan pelajar - Alimuddin
ALIMUDDIN: Ibu bapa perlu beri sokongan sepenuhnya kepada pihak sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan menyerahkan kuasa menyediakan soalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kepada pihak sekolah mulai tahun hadapan memberi peluang pihak berkenaan menilai sendiri keupayaan dan kebolehan pelajar masing-masing.

Tokoh Pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagaimanapun berkata, soalan peperiksaan berkenaan perlu benar-benar selaras dengan keperluan Lembaga Peperiksaan selain skima jawapan serta latihan lengkap disediakan kepada guru terbabit.

"Ini satu perubahan baik untuk pendidikan kita. Dalam hal ini, harap ibu bapa beri sokongan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Ibu bapa kena faham dan jelas. Juga, sediakan guru-guru profesional yang terlatih.

"Jadi, mereka sudah tentu akan melaksanakan tugas ini mengikut arahan kementerian.

"Sekiranya ibu bapa tidak campur tangan dalam hal ini, kita harap apa yang dirancang kementerian akan mencapai mutu pendidikan negara kita," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
BACA: Sekolah diberi kuasa sediakan soalan PT3 mulai 2020

BACA: 
Gagal dapat keputusan PT3 terbaik, bukan penghalang capai cita-cita

Mulai tahun hadapan, sekolah-sekolah menengah di seluruh negara diberikan kuasa sepenuhnya untuk mengendali dan menyediakan PT3.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kuasa berkenaan juga membolehkan pentadbir sekolah menyediakan soalan-soalan item PT3 tanpa penglibatan Lembaga Peperiksaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan keputusan itu menjejaskan peluang pelajar untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada Tingkatan Empat, ini kata Alimuddin;

"Sudah tentu apa yang diperlukan oleh pihak SBP atau MRSM akan dinyatakan dalam permohonan daripada pelajar-pelajar, jadi sudah tentulah ini beri keadilan kepda pelajar.

"Terutamanya mereka yang datang dari lokaliti yang berlainan, misalnya seperti pedalaman, pulau dan kawasan yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap, seperti bandar.

"Mereka akan dapat penilaian yang selaras dengan keupayaan mereka sendiri."

Pada ketika ini soalan PT3 disediakan oleh Lembaga Peperiksaan, namun pengurusan pengendalian PT3 dibuat di sekolah masing-masing.