Kerajaan sanggup mengetepikan Hutang Tidak Berbayar (NPL) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) demi memastikan rakyat dapat menikmati peluang pendidikan sehingga ke tahap tertinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika dilihat daripada sudut komersil, PTPTN bukanlah insitusi kewangan yang berdaya maju disebabkan NPL yang tinggi.

"Sebagai bekas eksekutif bank dan pengerusi bank, (saya lihat) memang PTPTN tidak berdaya maju daripada sudut komersil kerana NPL yang cukup tinggi, lebih tinggi daripada yang membayar.

"(Tetapi) kerajaan sanggup lupakan NPL demi kebertanggungjawaban untuk lihat rakyat ada peluang pendidikan. Komitmen kerajaan melebihi nilai komersil, melebihi nilai perbankan yang ditetapkan piawaian institusi kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Geran Sepadan dan Kempen Jom Menabung Tabung bersama Tabung Pendidikan di sini, hari ini, bersempena program Pemukiman Menteri Besar Perak.

Pada majlis itu, seramai 2,000 pelajar dari sekitar Badan Datuk menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat PTPTN berupa deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus dengan jumlah keseluruhan RM200,000.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata penubuhan PTPTN sejak 1997 membolehkan lebih banyak akses pendidikan tinggi diperoleh rakyat di negara ini.

Secara purata, kira-kira 200,000 pelajar berpeluang menjejakkan kaki ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta setiap tahun, katanya sambil memberitahu bahawa sehingga 31 Dis lepas, seramai 2.6 juta pinjaman diluluskan dengan jumlah pinjaman RM48.5 bilion.

"Ini satu jumlah yang cukup besar. Tiada mana-mana negara di dunia yang komited seperti Malaysia dalam memberikan pinjaman pendidikan kepada para pelajar," katanya.

Beliau turut menggesa para peminjam yang sudah menamatkan pengajian dan bekerja supaya membayar hutang PTPTN masing-masing bagi membolehkan kemudahan itu dinikmati lebih ramai pelajar lain.

Ahmad Zahid turut memuji PTPTN yang proaktif dalam mentransformasi minda masyarakat untuk membuat penabungan pendidikan melalui menerusi SSPN-i dan SSPN-i Plus.

-- BERNAMA