Pulang beraya: Pandu secara berhemah, berwaspada di enam laluan ini di Kelantan

Pulang beraya: Pandu secara berhemah, berwaspada di enam laluan ini di Kelantan
Beberapa laluan di Kelantan dikenal pasti merekodkan banyak kes kemalangan. - Gambar hiasan
GUA MUSANG: Polis Kelantan menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati memandu pulang ke kampung halaman ketika melalui enam laluan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lokasi yang terlibat dalam Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri yang baru bermula pada 18 Jun sehingga 2 Julai ini ialah di beberapa lokasi seperti di Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Kota Bharu dan Gua Musang.

Katanya, tema Op Selamat kali ini ialah "Rumah Selamat, Selamat Ke Destinasi" adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
"Ada enam kawasan dalam kontinjen Kelantan. Antaranya ialah, kalau di kawasan Kuala Krai, ada dua iaitu Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Pasir Mas, dan Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas-Simpang Tiga Lubuk Jong.

"Satu lagi Panglima Bayu-Rantau Panjang, Jeram Pergah, Machang-Tanah Merah-Pasir Puteh hadapan  JKR jajahan Machang, dan Pasir Puteh-Jalan Kota Bharu-Terengganu," ujar Hasanuddin.

Hasanuddin juga mengingatkan kepada masyarakat yang ingin meninggalkan rumah agar bekerjasama untuk mengisi borang sebagai pemakluman di balai polis berdekatan ataupun melalui aplikasi mudah alih terbaharu iaitu Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat kali ke-11 peringkat negeri Kelantan di Hentian Gua Musang.

Kemalangan jalan raya di Kelantan ketika musim perayaan Aidilfitri tahun lepas menurun kepada 732 kes berbanding 753 kes dalam tempoh sama pada 2015.