Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta penganjur agar memulangkan bayaran deposit kepada peniaga susulan pengumuman kerajaan membatalkan semua bentuk Bazar Ramadan tahun ini.

Tegasnya, mana-mana individu tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kesusahan mereka yang terkesan dengan COVID-19.

"Saya harap sesiapa jangan ambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Mereka bayar deposit dengan harapan bazar akan dibuka dan kerajaan buat keputusan bazar tak dibuka. Jadi, pulangkan keseluruhan deposit yang dibuat," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Beliau mahu individu terlibat mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memulangkan semua bayaran deposit kepada peniaga.

"Kita ambil contoh yang berlaku di DBKL. DBKL memulangkan bayaran yang dibuat kepada pemilik gerai bazar atau sekurang-kurangnya kalau tak nak pulangkan, gunakan untuk tahun akan datang. Sebaiknya pulangkan kepada mereka yang telah membayar," tambahnya.