"Tiada makna Syawal kali ini ...saya terlalu merinduinya kerana dialah anak saya yang pertama dan tulang belakang keluarga kami," begitulah luahan seorang ibu, Asiah Basiron yang merayu anaknya Muhd Akmal Sharul Nizam Ab Rahim pulang ke pangkuan keluarga setelah kira-kira lapan bulan menghilangkan diri.

Ibu kepada enam anak itu berkata anak sulungnya yang berusia 22 tahun itu tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk ke tempat kerja di kilang solar di Tanjung Minyak di sini pada 3 Okt tahun lepas dan dipercayai mengikut seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pemandu peribadi kepada seorang gadis yang dikenali anaknya di Facebook.

Asiah, 45, yang tinggal di Kampung Pulau Gadong di sini berkata dia dan keluarga telah membuat tiga laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu sejak Oktober tahun lepas selain berusaha pelbagai cara termasuk perubatan Islam.

"Selalunya dia yang akan sediakan persiapan Syawal termasuk membeli pakaian baharu untuk adik-adiknya selain membantu perbelanjaan keluarga memandangkan ayahnya hanya bekerja kontrak," katanya ketika ditemui bersama suaminya, Ab Rahim Yakup, 48, di Klebang di sini, hari ini.

Asiah berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat Muhd Akmal diminta menghubunginya di talian 017-6226025.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima tiga laporan berhubung kehilangan Muhd Akmal Sharul Nizam dan siasatan 'orang hilang' masih dijalankan.

-- BERNAMA