Usaha untuk mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai Sugianto oleh anggota keluarganya terus buntu sehingga mereka membuat keputusan untuk menghebahkannya di media sebagai jalan terakhir.

Bapa saudara lelaki itu, Kasmani Ngarpani, 62, berkata Sugianto Sarmen berasal dari Urun Ketong, Tanjung Batu, Indonesia, gagal dikesan setelah beberapa tahun memasuki negara ini.

Katanya, Sugianto yang memasuki Malaysia pada tahun 1979 itu, kali terakhir berhubung dengan anggota keluarganya pada tahun 1983, termasuklah ibunya, Kartini Sipan, 80, di mana ketika itu Sugianto berada di Pasir Gudang.

"Ketika itu, kami sekeluarga berhubung dengan menggunakan surat dan sekali-sekala menggunakan telefon awam, namun telah terputus hubungan kemudiannya sehinggalah sekarang.

"Sugianto yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu berhijrah ke negara ini untuk mencari rezeki bagi membantu meringankan beban keluarganya," katanya ketika ditemui, pada Jumaat.

Menurut Kasmani lagi, keluarganya juga telah pergi ke tempat kerja yang dimaklumkan oleh Sugianto sebelum ini iaitu di Pasir Gudang, tetapi mereka dimaklumkan oleh rakan sekerjanya yang anak saudaranya itu telah berpindah ke Pahang untuk bekerja di sana.


Lelaki yang dikenali sebagai Sugianto Sarmen, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya semenjak tahun 1983, kali terakhir berhubung dengan ahli keluarganya adalah dengan ibunya. --fotoBERNAMA
Katanya, ahli keluarganya berharap yang orang ramai dapat menghubungi mereka sekiranya mengenali atau pernah terlihat anak saudaranya itu setelah mereka terpisah hampir 40 tahun.

"Ketika memasuki negara ini Sugianto berusia 18 tahun dan sekiranya dia masih hidup usianya berkemungkinan sekitar 50-an, adik bongsunya kini telah berusia 43 tahun.

"Kami berharap agar anak saudara saya ini masih lagi hidup dan dapat bertemu kembali, sekiranya dia mahu terus menetap di negara ini, kami sekeluarga izinkan yang penting kami dapat bertemu dan terus berhubung dengannya.

"Buat masa ini kami masih belum membuat laporan polis berkaitan dengan kehilangannya, dan ibunya sendiri akan ke sini (Malaysia) untuk membuat laporan berkenaan dalam masa terdekat ini," katanya.

Jelas Kasmani lagi, sekiranya ada maklumat berkaitan dengan anak saudaranya itu, orang ramai boleh berhubung dengannya di talian 011-2776 8628? atau 011-3642 4635.

-- BERNAMA