Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mula memantau harga barangan dan perkhidmatan di Pulau Pangkor menjelang pelaksanaan Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Januari 2020.

Pemantauan telah dimulakan sejak awal Disember lalu dan akan diteruskan pada Januari tahun hadapan.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, selepas itu satu kajian akan dibuat bagi memastikan tiada peniaga mengambil keuntungan berlebihan selepas 1 Januari depan.

“Kita jangka selepas pengumuman Pangkor sebagai pulau bebas cukai, akan ada peniaga ambil kesempatan sebab akan ramai pelancong, sekali gus meningkatkan aktiviti perdagangan.

“Jadi, kita telah buat kajian, kita ambil harga pada bulan semasa dan kita akan ambil harga pada Januari setiap suku tahun.

“Kita akan ambil harga barang-barang yang melibatkan barang-barang keperluan, barang-barang yang berkaitan dengan perkhidmatan hotel, restoran macam salon dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Pasaraya Tesco di sini hari ini.

Saifullizan berkata, selepas kajian itu, pihaknya akan mengumumkan perbezaan harga sebelum dan selepas 1 Januari 2020.

Menurutnya, KPDNHEP Perak juga bekerjasama dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pulau Pangkor dan Majlis Perbandaran Manjung untuk memastikan tiada peniaga menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan yang dilakukan sejak Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, beliau berkata, kebanyakan peniaga, termasuk di pasar awam telah mematuhi skim harga maksimum musim perayaan yang dijalankan.