Kerajaan negeri Melaka akan mendapatkan pengiktirafan Pulau Nangka sebagai tapak warisan sejarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sekiranya artifak yang ditemui dua hari lepas merupakan sebahagian harta karun peninggalan zaman kesultanan Melayu Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pulau tidak berpenghuni itu bakal dijadikan tapak kajian pakar sejarah dan arkeologi bagi mengumpul maklumat mengenai zaman kesultanan Melayu Melaka.

Bagaimanapun, katanya penemuan dua artifak berbentuk syiling itu perlu dibuktikan mempunyai kaitan dengan harta karun dipercayai bernilai berbilion ringgit yang didakwa terdapat di pulau itu.

"Saya masih tidak yakin penuh apa yang dijumpa itu datang daripada kawasan itu (Pulau Nangka), mungkin sesuatu yang tercicir atau dicicirkan...ini kita kena siasat," katanya kepada pemberita selepas menerima rombongan 60 peserta Program Belia Asia Tenggara di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Kedua-dua artifak berbentuk bulat itu, yang diameternya kira-kira enam sentimeter dan berwarna kekuningan, masing-masing ditemui pada 11.15 malam dan 11.30 malam Rabu lepas.

Artifak pertama mempunyai lima baris tulisan dipercayai daripada kerajaan Majapahit manakala artifak kedua mempunyai lubang berbentuk segi empat di tengahnya dengan tulisan Jawi di sekelilingnya.

Kedua-dua artifak itu telah diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara untuk proses ujian makmal bagi mendapatkan status artifak itu.

Kerja-kerja mencari harta karun itu dilakukan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang diberikan kontrak selama empat bulan oleh kerajaan negeri Melaka, yang berakhir pada 12 tengah malam Rabu lepas.