GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri kedua tertinggi yang memiliki rumah tidak terjual selepas Johor iaitu sebanyak 4,863 unit membabitkan nilai RM3.66 billion .

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kebanyakan rumah yang sudah siap dibina di negeri itu masih belum terjual sehingga kini.

Jagdeep berkata, daripada jumlah unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang itu, hanya 347 unit atau tujuh peratus merupakan rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah.

Sementara, unit kediaman yang berharga lebih RM300,000 pula sebanyak 93 peratus, kata Jagdeep.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan rumah-rumah mampu dimiliki boleh dijual, kerajaan negeri melakukan beberapa perkara untuk membantu pemaju.

“Antara yang kita buat ialah beri insentif, caj kemajuan dan (caj) lain-lain dapat kita kurangkan bagi memastikan semua rumah ini dapat terjual,” kata Jagdeep.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di George Town pada Isnin.

Berdasarkan statistik, sebanyak 6,509 unit membabitkan nilai RM4.89 billion tidak terjual di Johor diikuti Pulau Pinang (4,683 unit), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,863 unit) dan Selangor (3,367 unit).

Sehubungan itu, Jagdeep berkata, kerajaan negeri sentiasa mengingatkan para pemaju supaya memperbanyakkan pembinaan projek perumahan bagi unit di bawah harga RM300,000 dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Ini adalah kerana semasa pandemik COVID-19, ekonomi semua pihak terjejas , justeru pemaju sepatutnya membuka mata dan mengambil peluang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Kerajaan negeri juga menggalakkan pemaju membina rumah mampu milik dengan memperkenalkan pelbagai insentif seperti pengurangan caj-caj melibatkan pemajuan dan sebagainya," kata beliau lagi.

Jagdeep berkata, apa yang penting adalah untuk mengawal harga rumah mampu milik supaya tidak melebihi harga ditetapkan iaitu di bawah RM300,000 kerana jika dibiarkan di pasaran terbuka, harga unit-unit ini akan dijual lebih mahal.