Pulau Pinang mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsagaan menghadapi fenomena air pasang besar dan banjir yang dijangka berlaku hari ini.

Pengerusi Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata,
pihaknya sedang memantau perkembangan terkini situasi banjir di Kedah dan mengarah semua pihak di Pulau Pinang agar bersiap sedia.

Katanya, walaupun tiada laporan banjir kilat dan banjir berlaku buat masa ini namun semua agensi terlibat sudah melakukan persiapan awal bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan dengan lancar.

Phee berkata, satu mesyuarat bersama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat( JKM), Angkatan Pertahanan Awan Malaysia( APM), PBS dan PDRM juga telah diadakan baru- baru ini bagi membincangkan persediaan menghadapi fenomena air pasang besar di negeri itu.

Beliau berkata, perbincangan meliputi aspek kekuatan pegawai dan kakitangan, logistik dan pusat pemindahan serta bekalan makanan.

Bagaimana pun katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan pada Rabu bagi menkoordinasikan urusan kawalan bencana bersama agensi berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir ekoran fenomena air pasang.

Katanya, persediaan logistik juga telah siap untuk digunakan memindahkan penduduk yang terlibat banjir.

JBPM juga katanya telah mengenal pasti beberapa kawasan panas (hotspot) yang dijangka akan dilanda fenomena berkenaan.