Sekumpulan pekerja binaan warga Indonesia dan Bangladesh bergaduh sesama sendiri akibat berebut untuk menggunakan lif di sebuah tapak pembinaan.

Pergaduhan yang berlaku di Bukit Jalil itu turut melibatkan penggunaan senjata tajam, dan telah tular di media sosial sejak minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Rusdi Mat Isa berkata kejadian itu berlaku 10 Februari lalu dan pihaknya telah menahan 17 individu yang terdiri daripada 10 warga Bangladesh dan 7 dari Indonesia.

“Lima daripada mereka telah dituduh di mahkamah pagi ini, masing-masing satu di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam dan seorang lagi Seksyen 324 Kanun Keseksyaan kerana mendatangkan kecederaan.


"Sementara tiga lagi dituduh dibawah kesalahan imigresen,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam kejadian berkenaan empat pekerja binaan warga asing telah dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) untuk mendapatkan rawatan kerana tercedera dalam pergaduhan tersebut.

Tambah Rusdi, pihaknya masih memburu pekerja asing yang terlibat dalam video berkenaan bagi membantu siasatan.