Kira-kira 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkumpul di hadapan Menara 238, Jalan Tun Razak di sini, hari ini bagi menunggu kehadiran bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Mohd Isa dijadualkan hadir pada 10 pagi tadi bagi memberi keterangan kepada pasukan penyiasat JSJK Bukit Aman berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak di sini.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati Mohd Isa yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih belum kelihatan sehingga 11.30 pagi ini walaupun pihak polis dan media sudah menanti kehadirannya sejak 10 pagi.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda itu di Jalan Semarak.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Jan 2011 hingga 19 Jun lalu serta Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

-- BERNAMA