Tiga anak Harimau Malaya yang dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada 12 April lalu, secara rasmi dinamakan Puntum, Teja dan Bayu.

Tiga nama itu dipilih daripada pertandingan yang disertai 5,827 penyertaan dan diadili oleh lima panel pemilih.

Tiga pemenang diumumkan sempena sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping & Night Safari yang dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di sini, hari ini.

Puntum, Teja dan Bayu. - Foto ihsan MPT

Anak harimau jantan dinamakan Puntum sempena seorang pahlawan Melayu Perak yang gagah berani menentang penjajah British.

Dua ekor anak betina masing-masing dinamakan Teja sempena nama srikandi Melayu yang cantik dan gagah, serta Bayu sempena tiupan angin yang lembut namun hebat dan kuat.

Setiap pemenang menerima wang tunai RM500 beserta sijil penyertaan.