Nilai murni seharusnya dipupuk sejak peringkat pra sekolah lagi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pada zaman dahulu, kanak-kanak telah dididik dengan nilai berkenaan oleh ibu bapa mereka di rumah.

Namun kini, Dr Mahathir berkata, anak-anak terpaksa bergantung kepada sistem persekolahan sepenuhnya untuk belajar nilai-nilai tersebut, memandangkan kedua-dua ibu bapa terpaksa keluar bekerja.

“Atas sebab itu, adalah perlu bagi kita memperolehi sistem pendidikan yang mampu memberi nilai-nilai murni kepada generasi seterusnya, sejak di peringkat pra-sekolah lagi,” katanya ketika berucap di majlis Dialog Perdana Menteri Malaysia bersama Pelajar-pelajar Universiti Toyo, di Tokyo hari ini.

Dr Mahathir berucap lanjut, masyarakat juga perlu memupuk sikap bertanggungjawab.

“Jika mereka tidak mempunyai sifat sedemikian, sudah pasti ia akan mengakibatkan kerajaan menjadi rejim yang bersifat menekan, akhirnya ia akan membawa kesan timbal balik yang buruk kepada masyarakat,” katanya lagi.

BERITA LANJUT MENYUSUL