Purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia meningkat 5.3 peratus kepada RM2,312 pada 2015 berbanding RM2,193 pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata penengah gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia tahun lepas juga meningkat 6.5 peratus setahun kepada RM1,600 berbanding RM1,500 pada 2014.

Menurutnya statistik itu adalah hasil Penyiasatan Gaji dan Upah yang dilaksanakan jabatan itu pada setiap tahun melalui pendekatan isi rumah bagi mendapatkan maklumat gaji dan upah bulanan pekerja bergaji di sektor awam dan swasta daripada pekerjaan utama.

Kajian yang dijalankan secara persampelan berkebarangkalian juga mendapati purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki adalah RM2,345, lebih tinggi berbanding pekerja perempuan iaitu RM2,254.

Bagaimanapun, penengah gaji dan upah bagi pekerja lelaki dan perempuan adalah sama iaitu RM1,600 dengan penengah bagi pekerja lelaki meningkat 5.7 peratus manakala bagi perempuan meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata gaji dan upah bulanan pekerja berpendidikan tertiari adalah lebih dua kali ganda daripada pekerja berpendidikan menengah pada 2014 dan 2015.

Pada 2015, katanya penengah gaji dan upah pekerja berpendidikan tertiari adalah RM3,100 berbanding menengah iaitu RM1,500, manakala purata gaji dan upah pekerja berpendidikan tertiari adalah RM3,854 berbanding menengah RM1,743.

Pekerja berpendidikan rendah pula mencatatkan penengah gaji dan upah RM1,100 dan purata RM1,224, katanya.

Sementara itu, menurutnya penengah dan purata gaji dan upah bulanan pekerja di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding luar bandar.

Bagaimanapun, dari segi pertumbuhan, penengah dan purata gaji dan upah di luar bandar adalah lebih tinggi berbanding di bandar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat pada kadar 3.0 peratus setahun kepada RM1,855, manakala penengah bagi pekerja di luar bandar tumbuh pada kadar 8.7 peratus kepada RM1,200.

Purata gaji dan upah bulanan pekerja juga mencatatkan peningkatan iaitu 5.9 peratus di bandar dan 6.1 peratus di luar bandar, katanya.

Menurut jabatan itu lagi pekerja bergaji yang direkodkan pada 2015 ialah seramai 10.2 juta orang.

Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah ialah penerbitan tahunan yang membentangkan indikator utama gaji dan upah iaitu penengah dan purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri demografi dan sosioekonomi.

Ia termasuk jantina, kumpulan umur, pencapaian pendidikan, sijil tertinggi diperoleh, strata bandar dan luar bandar, negeri, pekerjaan dan industri.