Purata tiga hingga lima 'berita pelik' berkaitan COVID-19 muncul setiap hari sejak jangkitan COVID-19 dikesan yang menyebabkan kegusaran orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

"Nak kata berita palsu, ia mengambil masa untuk disiasat tetapi memang setiap hari ada sahaja berita pelik daripada kawan-kawan kita yang kreatif bercerita macam-macam seperti hospital itu tutuplah, polis nak tahan itu ini.

"Ia sesuatu yang menggusarkan dan saya harap rakyat Malaysia tidak buat begitu," katanya kepada Bernama dan RTM di sini pada Rabu.

Beliau berkata trend berita palsu semakin meningkat sejak wabak COVID-19 melanda negara berbanding sebelum ini dan ia suatu perkara yang tidak menyenangkan orang awam.

Katanya sehingga kini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencatatkan lebih 40 kes berkaitan berita palsu mengenai COVID-19 dan ia bukanlah angka yang baik untuk Malaysia.

"Ada yang telah didakwa di mahkamah dan saya diberitahu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa terdapat banyak kes dan tangkapan telah dibuat dan ada yang telah dibawa ke mahkamah dan mengaku bersalah," katanya.

Saifuddin memaklumkan kementeriannya mempunyai satu pasukan respons pantas yang akan menjawab perkara-perkara berkaitan COVID-19 yang mengelirukan dan menggusarkan orang awam.

"Kita seharusnya mengelak diri daripada berita palsu.. kalau kita tidak boleh jadi doktor, jururawat, wartawan, RELA atau polis yang berada di barisan hadapan jangan kita pulak menjadi barisan hadapan untuk menyebarkan benda-benda yang tidak membantu dan menggusarkan orang ramai," katanya.

Terdahulu, Saifuddin menerima sumbangan 10,000 keping penutup hidung dan mulut dari kerajaan China yang diwakili oleh Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Penutup hidung dan mulut itu akan digunakan petugas barisan hadapan kementerian termasuk dari Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan di seluruh negara.

-- BERNAMA