Pusat Jagaan OKU Nur perlukan bantuan

Pusat Jagaan OKU Nur perlukan bantuan
KUALA LUMPUR: Sebak dan simpati, itulah cetusan hati wartawan Astro Awani yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat Jagaan OKU Nur yang terletak di Jalan Tembaga, Titiwangsa Kuala Lumpur.

Pusat ini yang ditubuhkan bertujuan untuk menjaga dan membela Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Kedatangan kami susulan emel yang dihantar oleh pengetua Pusat Jagaan OKU Nur,  Normah Safar di ruangan U-Wartawan  laman sesawang astroawani.com yang mengadu mengenai masalah yang mereka hadapi.
 
Menurut  Normah, Pusat Jagaan OKU Nur ini telah beroperasi selama tujuh tahun dan baru setahun menetap di lokasi sedia ada.

Rumah kecil yang mempunyai  empat bilik dan tiga bilik air itu disewa pada harga RM3,000 sebulan.


Normah Safar, Pengetua Pusat Jagaan OKU Nur

Kediaman ini dilihat begitu sesak untuk memuatkan 27 OKU dan lapan orang warga emas.

Kami juga dimaklumkan bahawa Normah dan pekerjanya yang seramai empat orang turut menetap di rumah yang sama.
“Bilik memang tak cukup. Pada OKU, yang fizikalnya ok, kami bentangkan tilam dan tidur beramai-ramai di ruang tamu”


Keadaan di ruang tamu Pusat Jagaan OKU Nur

Mengikut tinjauan kami, katil dan tilam yang terdapat di pusat jagaan berkenaan tidak lagi dalam keadaan elok. Kebanyakkan tilam yang  ada sudah koyak dan lusuh.

“Dengan sumber kewangan yang terhad, kami tidak mampu untuk membeli peralatan baru. Bantuan yang ada hanya mampu untuk membayar duit  sewa rumah dan barang keperluan harian” ujar Normah.

“Kami juga memerlukan kenderaan yang besar seperti van untuk aktiviti riadah penghuni di sini.” Ujarnya lagi.


Jumlah katil yang terhad untuk penghuni

Menurut Normah, permohonan bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dibuat namun  masih lagi dalam proses mendapatkan kelulusan dari pihak JKM dan beberapa jabatan lain seperti DBKL, Jabatan Bomba dan Jabatan Kesihatan.

Normah juga memaklumkan yang dia memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan warga Pusat Jagaan OKU Nur.

Sumber kewangan diperolehi menerus sumbangan rang ramai dan penghuni pusat terbabit.


Keadaan di dapur yang memerlukan pengubahsuaian

Untuk itu Normah juga berharap agar sumbangan dapat dihulurkan agar dapat meringan beban yang dihadapinya.

“Harapan saya agar dermawan di luar sana dapat memberikan sumbangan dan dana untuk berbentuk wang  untuk menampung sewa rumah dan belanja harian kami.  Kami juga berharap, jika dapat rumah yang lebih luas dan bilik yang banyak, dapatlah penghuni di sini menjalani hidup dengan lebih selesa.”

Astro Awani turut menghubungi Puan Mariamal, Pegawai Pembangunan Masyarakat dari JKM berkenaan masalah yang dihadapi oleh Pusat Jagaan OKU Nur.

Salah seorang warga OKU yang menghuni di situ

“JKM akan melakukan penyiasatan dan penelitian ke atas setiap permohonan sebelum kelulusan geran bantuan kerajaan diberi. Sementara itu, pusat jagaan tersebut perlulah mencari dana dan sumber kewangan sendiri bagi menampung keperluan pusat jagaan mereka”

Kepada orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian dengan menghubungi

Puan Normah Safar
No Telefon: 03-4021 4791 / 012-673 1816
No Akaun CIMB : 1416 0017 533 058 (Pusat Jagaan Titian OKU Nur)