Kementerian Sumber Manusia bakal melancarkan satu inisiatif bagi golongan B40 dalam membantu mereka mendapatkan maklumat mengenai skim perlindungan insuran keselamatan sosial serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menterinya, M Kulasegaran berkata idea itu tercetus berikutan kesedaran wujud antara golongan tersebut yang berdepan masalah mendapatkan maklumat tepat atau peluang bertemu pegawai jabatan berkenaan sekali gus membiarkan masalah mereka tergantung.

Menurutnya, buat masa ini Parlimen Ipoh Barat akan menerajui Program Kaunter Khidmat Pelanggan Perkeso di kawasan setempat untuk mendapatkan maklum balas orang ramai.

Jelasnya, bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan mereka memerlukan khidmat kaunter-kaunter yang beroperasi sekitar dua jam di kawasan pasar tersebut.

"Kebanyakan masalah berbangkit adalah mereka tidak ada masa atau tidak tahu mendapat bantuan. Oleh itu kita turun padang hari ini yang merupakan projek perintis.

"Malah kita akan menjelajah ke seluruh negeri untuk mendekatkan diri masyarakat dengan Perkeso," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Kaunter Khidmat Pelanggan PERKESO pertama di Malaysia, di Pasar Kampung Tawas, dekat sini pada Sabtu.

Malah, Kulasegaran juga bercadang memberikan surat mengenai kehadiran kaunter khidmat Perkeso kepada majikan di kawasan berhampiran dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menguruskan masalah pekerja atau pesara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Azman Aziz Mohammed berkata buat masa ini kebanyakan kes melibatkan pekerja tidak mempunyai pengetahuan asas tentang maklumat caruman dan kelayakan mereka.

Menurutnya, pihak Kementerian akan menggerakkan skuad prihatin Perkeso untuk mendapatkan data dan maklumat daripada sesetengah warga kerja selain tindak balas daripada orang ramai.