Satu sindiket pelacuran yang baharu sahaja lima hari beroperasi di sebuah hotel bajet di Petaling Jaya digempur polis menerusi Ops Noda.

Dalam serbuan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu, seramai 11 wanita warga asing yang disyaki menawarkan khidmat seks ditahan.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin, berkata dalam serbuan pada jam 9.30 malam itu, polis turut menahan empat pelanggan terdiri daripada lelaki tempatan.

“Sindiket ini dikesan baharu lima hari beroperasi dan urusan mengaturkan pelanggan ke hotel itu dibuat oleh seorang lelaki berperanan sebagai ejen yang kini kita sedang dikenal pasti identitinya, '' kata beliau.

Tambahnya, siasatan mendapati kegiatan tidak bermoral ini diiklankan menerusi media sosial serta laman web dan pelanggan yang berminat perlu berhubung dengan ejen itu menerusi aplikasi Whatsapp.

Ujar beliau, pelanggan dikenakan bayaran antara RM230 sehingga RM950 bergantung kepada tempoh masa khidmat seks yang diberikan.

"Pelanggan dikenakan bayaran RM230 sejam, manakala pelanggan yang mahu khidmat seks semalaman daripada jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, dikenakan bayaran RM950,'' jelas beliau.

Sebahagian wanita warga asing yang ditahan ketika Ops Noda oleh Siasatan Jenayah Maksiat,Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Kesemua pekerja seks berkenaan ditempatkan di bilik yang terletak di tingkat tiga hotel bajet dan pelanggan akan diberikan nombor bilik oleh ejen berkenaan.

Katanya, tangkapan terdiri daripada 10 wanita Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 22 sehingga 30 tahun.

Difahamkan, setiap wanita itu mampu menjana pendapatan antara RM500 sehingga RM600 sehari, bergantung kepada jumlah pelanggan.

Siasatan mendapati kesemua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan dan visa lawatan yang sah ke negara ini.

Pihak polis sedang berusaha mengesan dalang utama sindiket ini dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Mohd Khaizam berkata, empat pelanggan yang ditahan turut dibawa ke IPD sama untuk membantu siasatan.