Sebanyak 131 institusi pengajian pondok di seluruh negara perlu meningkatkan tahap keselamatan terutama sistem pendawaian elektrik, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan institusi berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendawaian elektrik di sebahagian besar institusi tersebut didapati tidak mengikut piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Keadaan itu mendedahkan institusi terbabit kepada berlakunya kebakaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan RM10,000 kepada pusat pengajian pondok Seri Permai, Permatang Sungkai di sini, yang terlibat dalam kebakaran pada Selasa lepas.

Kejadian kebakaran pada 9.30 malam itu memusnahkan 10 pondok kediaman pelajar yang melibatkan kerugian kira-kira RM161,000.

Beliau berkata kebakaran seumpama itu boleh menjejaskan pembelajaran pelajar.

"Pihak pengurusan pondok perlu berbincang dengan TNB dan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mewujudkan sebuah pusat pengajian yang terjamin dalam semua aspek keselamatan," katanya.

Asyraf Wajdi berkata kerajaan persekutuan sentiasa mengambil berat dengan institusi ini termasuk memperuntukkan RM50 juta untuk pusat pengajian pondok dan sekolah agama rakyat manakala RM30 juta lagi untuk sekolah tahfiz Al Quran pada tahun ini.

"Kerajaan persekutuan tidak mahu institusi pengajian pondok ketinggalan dalam arus pemodenan dan mahu memartabatkannya supaya setaraf dengan pusat pengajian lain," katanya.

Mengenai pembangunan pusat pengajian pondok Seri Permai itu, beliau berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM275,000 pada tahun lepas bagi tujuan tersebut.

-- BERNAMA