Pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Harian Selayang telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Penjelasan itu dibuatnya selepas meneliti memorandum bantahan yang dibuat sekumpulan individu di hadapan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.

Malah jelasnya, masalah kesesakan yang dikatakan berlaku disebabkan pembinaan projek itu juga sudah diteliti dan disifatkan bukan satu masalah.

Bagaimanapun, kementeriannya akan tetap melakukan siasatan terhadap tiga masalah utama yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan.

Tiga masalah itu ialah selesema burung, masalah trafik dan masalah kebersihan yang diadukan penduduk susulan pembinaan pusat penyembelihan ayam itu.


"Mereka telah menyerahkan memorandum, maka kita akan melakukan siasatan yang diperlukan dan akan memberikan maklum balas. Namun, saya harap cerita yang diadukan mereka tidak berubah. Kalau mereka kata disebabkan selesema burung, masalah trafik dan masalah kebersihan, jadi mereka perlu menjurus kepada itu sahaja.

"Jangan pula keluarkan bantahan lain hanya kerana tiga masalah itu telah dijawab," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Kuala Lumpur Sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pada 8 Nov lalu, kira-kira 800 peniaga, penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Menara DBKL sebagai membantah pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Harian Selayang.

Setiausaha Persatuan Gabungan Persatuan Penduduk Taman Wilayah, Abdul Aziz Mohd Alias berkata, pihaknya tidak menghalang pembangunan tersebut namun meminta agar projek itu dipindahkan ke lokasi yang lebih bersesuaian mengambil kira faktor kepadatan, keselamatan dan kesihatan.

Turut hadir menyokong bantahan itu adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.