Sejak terputus bekalan air beberapa bulan lalu, tandas di sebuah pusat rekreasi di sini berbau busuk dengan najis yang ditinggalkan merata-rata.

Yang menjadi mangsa adalah pengunjung.

Tinjauan mendapati, Pusat Rekreasi Hutan Lipur Bukit Wang di sini, bukan sahaja rosak akibat vandalisme, tetapi tandasnya juga menjijikkan dan tiada bekalan elektrik.

Kebanyakan pengunjung beranggapan ada pihak yang ‘lepas tangan’.

Salah seorang pengunjung, Shazwin Haizi Abdullah, berkata sepanjang pemerhatiannya selepas beberapa kali datang ke pusat rekreasi itu, tidak banyak perubahan yang berlaku.

"Ini satu masalah. Tadi saya ke bilik air untuk menyalin pakaian. Saya dapati, tempatnya sangat teruk. Tak tahu di mana hendak menyalin baju," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Nor Atikah Hasrin, menyuarakan pandangan sama.

“Bagi lelaki, tiada masalah, mereka boleh tukar pakaian di luar. Orang perempuan nak tukar di mana?

"Sudahlah bilik air tiada bekalan air, keadaannya menyeramkan pula," katanya.

Astro AWANI membawa aduan pengunjung kepada penjaga hutan lipur itu, Mohd Tarmizi Keria.

Dia mendakwa, masalah ketiadaan air di tandas awam pusat rekreasi itu, yang dialami sejak beberapa bulan lalu, adalah diakibatkan saluran paip utama yang pecah.

Kerosakan dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri besi tembaga penyambung paip berkenaan.

Bukan itu sahaja, stor yang menempatkan pelbagai peralatan turut hilang.

“Kecurian berlaku di waktu malam. Siang hari ia tidak berlaku kerana orang ramai. Kami pun berjaga di sini dari pagi sampai petang. Pukul 5 atau 6, kami balik. Mungkin ketika itu mereka datang," katanya.

Pusat Rekreasi Hutan Lipur Bukit Wang beroperasi semula sejak awal tahun lalu selepas diarahkan tutup oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim susulan kejadian kepala air.