“SAYA lihat empat pelajar bergegas untuk menyelamatkan diri,” kata seorang saksi yang berjaya menaiki bangunan itu untuk membantu pelajar tahfiz yang terperangkap dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di sini awal pagi ini.

“Saya pun dapat tahu mengenai kebakaran selepas isteri saya mengejutkan saya kira-kira jam 5.30 pagi.

“Isteri saya terdengar jeritan pelajar yang meminta tolong, malangnya bukan semua orang dapat dengar jeritan mereka,” kata Mohammad Hakimi yang menetap di hadapan sekolah tahfiz yang terletak di Kampung Datok Keramat di ibu negara tersebut.

“Saya terus naik atas dengan menggunakan tangga tetapi saya tidak sempat untuk membuka pintu bilik mereka kerana pintu itu terkunci.

“Saya tidak boleh buat apa-apa. Saya turun balik untuk mencari kunci dan apabila saya naik balik, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Api marak dan sekelip mata keseluruhan pusat tahfiz itu dijilat api,” kata Hakimi ketika ditemu bual Astro AWANI di tempat kejadian awal tadi.

Tambah Hakimi, bukan mudah bagi pelajar berkenaan untuk menyelamatkan diri dari bilik tersebut yang didakwa hanya mempunya satu pintu utama.

“Mereka tidak ada aset (laluan) lain untuk menyelamatkan diri, cuma ada satu pintu sahaja untuk menyelamatkan diri.

“Dengan pelajar seramai 30 orang dan satu laluan memang sukar untuk mereka menyelamatkan diri.

“Jadi, hanya beberapa pelajar sahaja yang berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau juga menyaksikan empat pelajar mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan diri dari tingkat tersebut.

“Pada ketika itu, ada empat pelajar cuba untuk keluar dari bilik bagi menyelamatkan diri. Setakat dada sahaja dapat keluar.

“Hanya dua orang sahaja yang berjaya terjun dari bangunan. Dua orang lagi gagal,” katanya dalam nada yang sedih.

“Pelajar-pelajar yang sudah besar tidak ada masalah mereka mampu menyelamatkan diri.

“Tetapi, pelajar-pelajar kecil ini hanya sekadar menjerit dan meminta tolong. Jadi, saya sedih saya tidak dapat menyelamatkan mereka,” jelas Hakimi.

Peta lokasi

Setakat ini, 23 pelajar pusat tahfiz tersebut terkorban, empat cedera parah dan tiga lagi mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sejak pagi tadi.

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Ada yang menggelungsur dari saluran paip air' - Saksi

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Saya hantar dua pasang jubah, serban untuk anak saya malam tadi' - Bapa mangsa