Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui pihaknya menghadapi cabaran dalam memerangi dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, pelajar sekolah kini bukan sahaja terdedah kepada pengaruh rakan sebaya tetapi juga pengaruh luar yang datang dalam pelbagai bentuk.

“Masalah sekarang ini dadah datang dalam pelbagai jenis pil dan susah kita nak kesan apa yang dia ambil.

Pusher boleh sampai ke pelajar dengan cepat,” katanya dalam sidang media selepas menyampikan sumbangan Yayasan Guru Malaysia (YGMB) kepada waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini.

Bagi cadangan Pindaan Akta Pelajaran 1996 (Akta 550) pula, Mahdzir memberitahu, satu jawatankuasa rundingan dengan kerajaan negeri akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata itu antara syor segera yang dilihat penting bagi menambahbaik system pendidikan negara membabitkan sekolah kebangsaan dan sekolah tahfiz di peringkat persekutuan dan negeri termasuk yang tidak berdaftar.

“Ini syor kita bagi membolehkan sekolah menambahbaik sistem pendidikan yang ada. Ada syor lain berkaitan dengan syarat-syarat untuk membuka sekolah yang berdaftar dengan kementerian,” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa terbabit akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri sebelum meminda akta terbabit.

Sejumlah 23 penghuni pusat tahfiz tersebut termasuk 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam insiden pada pagi Khamis lalu.