Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengetahui sebab mengapa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman menangguhkan lawatannya ke Malaysia.

Beliau turut mengesahkan bahawa telah dimaklumkan berkenaan penangguhan lawatan yang dijadualkan esok.

“Saya tidak tahu sebab apa. Cuma dia beritahu dia tidak hadir, itu sahaja maklumat saya dapat,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Pesta Demokrasi Kuala Lumpur 2019 anjuran Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA) di sini, pada Sabtu.

Mohammed yang merupakan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi sedang dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia bermula dengan lawatan ke Pakistan minggu ini.

Menurut laporan itu, dari Islamabad, Putera Mahkota Arab Saudi dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi dua hari sebelum meneruskan lawatan ke Indonesia pada Isnin dan selepas itu ke India.

Lawatan Mohammed ke Malaysia adalah yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi pada Jun 2017.