Sebanyak enam lokasi telah dikenalpasti dan diselaras untuk dijadikan lokasi bagi aktiviti ibadah korban di Putrajaya dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hashim berkata lokasi berkenaan juga dipilih berlandaskan beberapa faktor selain memastikan SOP dapat dipatuhi.

“Lokasi yang kita pilih ini jauh dari punca air di mana kita boleh menanam sisa korban serta pengamalan SOP dari segi penjarakan sosial dan sebagainya.

“Kita juga telah tetapkan bagi setiap lokasi cuma 30 petugas dibenarkan untuk menguruskan dari segi penyembelihan, lapah dan agihan jadi orang ramai tidak berkumpul di tapak korban,” katanya ketika ditemui ketika melawat tapak korban di Putrajaya pada Selasa.

Bagi setiap lokasi ibadah korban, pihak Perbadanan Putrajaya telah menghadkan kepada 45 ekor lembu yang diuruskan dalam dua sesi.

Sementara itu, Aminuddin turut menjelaskan bagi pihak masjid dan surau yang ingin melaksanakan ibadah berkenaan dikehendaki maklum serta membuat permohonan kepada pihaknya bagi proses pemeriksaan serta kesesuaian sama ada ia sesuai untuk dijalankan atau sebaliknya.

Setakat Selasa, sebanyak 11 permohonan telah diterima oleh pihak masjid dan surau bagi ibadah itu merangkumi 87 ekor lembu, 10 ekor kambing dan empat ekor kerbau dan permohonan itu dijangka terus meningkat.

Sebelum ini tiada sebarang had mahupun lokasi khas ditetapkan bagi melaksanakan ibadah tersebut di Putrajaya dan penyelarasan itu diambil sebagai langkah mengawal penularan wabak pandemik COVID-19.