Usaha melonjakkan kempen #QuranHour bukan satu usaha mudah terutamanya membabitkan aktiviti fizikal seperti Climb for #QuranHour .

Selebriti dan ikon Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor mengakui usaha yang ditunjukkan jurukamera Astro AWANI, Sallehin Hussain, ketika merakamkan detik-detik sepanjang misi berlangsung amat mengagumkan.

"Saya tengok jurukamera Astro AWANI tadi naik dengan membawa kamera, bermakna bebannya lebih sukar berbanding kami yang hanya perlu bawa badan.

"Saya akui kami bukan seperti ahli sukan, tapi semangat jurukamera AWANI tu betul-betul menginspirasikan saya," ujarnya.

Ketika kebanyakan petugas media lain menaiki lif untuk menunggu ketibaan Rosyam di SkyDeck, manakala beberapa yang lain mengikuti pendakian itu dengan gajet rakaman bersaiz lebih kecil, Sallehin pula gigih untuk terus berada di hadapan laluan pendakian dengan membawa kamera P2 Panasonic 270 seberat lebih 2 kilogram.

Itu belum lagi ditambah dengan berat beg yang digalasnya.

Ternyata kamera tersebut dipegang kemas untuk terus merakamkan detik-detik menarik sepanjang sesi pendakian tersebut.

Sallehin gigih menjalankan tugasnya biarpun bermandi keringat. - Astro AWANI/Hilal Azmi

Jurukamera AWANI, Sallehin Hussain, terus bersama kumpulan peserta yang melengkapkan misi tersebut hingga ke puncak menara. - Astro AWANI/Hilal Azmi

Rosyam juga bersyukur kerana dikurniakan kemampuan untuk menyelesaikan misi tersebut dalam keadaan usianya sekarang ini.

"Saya tahun ni dah (masuk usia) 50 tahun. Boleh sampai ke puncak tu kira Alhamdulillah la," katanya dalam sidang media selepas program Climb for #QuranHour pada Isnin.

Semasa misi berlangsung, Rosyam yang pernah membintangi filem Tamil, Kabali turut mengakui dia turut rasa 'ketat' di bahagian dada dan kakinya kerana cabaran fizikal itu.

Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke 26 itu turut mengambil tempoh rehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

"Alhamdulillah peserta lain turut beri semangat, ditambah dengan wakil media yang membuat liputan turut sama memberi semangat.

"Dah nampak jurukamera laju naik tangga, saya pun terus bersemangat," katanya lagi.