Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam program Selangor #QuranHour yang berlangsung di Masjid Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya hari ini.

Naib Canselor Unisel Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, objektif program Selangor #QuranHour ialah untuk memberi kesedaran terhadap orang ramai dalam memahami dan menghayati al-Quran supaya ia tidak hanya dibaca semata-mata.

"Selama ini kita hanya membaca al-Quran tetapi kita tidak mendalami secara terperinci mengenai kandungannya," katanya.

Beliau juga menjelaskan, program interaksi al-Quran pada kali ini memilih Surah Yaasin sebagai tema dan intipati dalam penghayatan al-Quran.

"Banyak pengajaran dan manfaat yang kita peroleh dalam memahami serta menghayati Surah Yaasin. Bayangkan jika kita mendalami keseluruhan surah yang terdapat dalam al-Quran, sudah tentu banyak ilmu dan manfaat yang kita dapat," jelas Mohammad Redzuan.

Unisel menjadi institut pengajian tinggi swasta pertama dalam penganjuran program #QuranHour di peringkat negeri.

Program berkenaan juga menjadi pembuka tirai sempena Hari Terbuka Unisel 4.0 yang bermula pada hari ini sehingga 18 Mac.