Raba anak gadis jiran sebelum cabul ibunya pula, lelaki 54 tahun didakwa

Raba anak gadis jiran sebelum cabul ibunya pula, lelaki 54 tahun didakwa
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan dan ibunya. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dihadapkan di dua mahkamah berasingan di Kuala Terengganu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul dua beranak yang juga jirannya.

Di mahkamah sesyen, tertuduh Mohd Asri Ramli @ Ngah, 54 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan meraba mangsa.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir motosikal Blok Gelama, flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini kira-kira jam 6.50 pagi, 24 September lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan hakim Nooriah Osman.

Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan di tawarkan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibu mangsa, berusia 44 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di kawasan letak kereta Blok Gelama, flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai di Kuala Terengganu kira-kira jam 7 pagi pada 24 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana antara dua seksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.

Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.


Tag: cabul dua beranak, Mohd Asri Ramli, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Blok Gelama flat Kondo Rakyat, amang seksual fizikal



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.