Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membawa pulang anjing dari kawasan lain ke Mukim Taiping dan Bukit Gantang sempena cuti Tahun Baharu Cina bagi mengelak risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak Dr Ahmad Shafri Hassan berkata sehingga kini perintah kawasan jangkitan penyakit rabies bagi daerah Larut Matang dan Selama yang dikeluarkan pada 14 Jan, masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik.

"Semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak dibenarkan membawa keluar anjing dari kawasan pewartaan iaitu Mukim Taiping dan Bukit Gantang yang sedang dilanda wabak Rabies.

"Sekiranya mahu bawa keluar anjing perlu ada kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bagi mencegah wabak ini menular ke kawasan lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mereka yang disabitkan kesalahan memindah keluar anjing tanpa kebenaran Pengarah JPV Perak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali mengikut subseksyen 39(1) di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan - 2006) dan (Pindaan) 2013 (Akta A 1452).

Beliau berkata pemilik anjing dilarang melepaskan anjing mereka keluar dari premis tanpa pengawasan ketat walaupun mempunyai lesen atau kolar vaksin.

"Anjing yang didapati berada dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila tanpa pengawasan tuannya, boleh dimusnahkan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah JPV Perak mengikut Akta Binatang 1953," katanya.

Menurut Ahmad Shafri, persampelan ke atas anjing liar di kawasan bersempadanan dengan kawasan perwartaan wabak rabies yang meliputi daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta setakat ini menunjukkan tiada tanda penularan wabak rabies ke daerah berkenaan.

Katanya, sehingga kini keadaan wabak itu di Mukim Taiping masih terkawal dengan kes positif melibatkan jangkitan rabies ke atas anjing liar masih kekal iaitu empat kes seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

Selain itu, katanya sebanyak 5,419 anjing dan 958 kucing telah dibuat pemantauan dan pemeriksaan jangkitan rabies sejak operasi kawalan penyakit itu dijalankan di Mukim Taiping dan Bukit Gantang.

"Sehingga hari ini, 4,262 anjing bertuan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan wabak rabies yang mula dikesan bulan lalu telah diberi suntikan vaksinasi rabies," katanya.

Katanya, seramai 20,943 orang awam telah diberi pendedahan menerusi program kesedaran tentang bahaya penyakit rabies dan cara menanganinya sekiranya diserang atau menjadi mangsa gigitan anjing.

-- BERNAMA