Seorang lagi mangsa wabak rabies disahkan meninggal dunia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya sebentar tadi mengesahkan kematian mangsa wanita berusia 21 tahun dari Kampung Koran Bari, Serian.

Menurut Dr Noor Hisham, mangsa dijangkiti rabies selepas digigit anjing peliharaannya di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan haiwan itu pada 20 April lalu.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan luka dan suntikan anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian namun menolak untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian pada keesokan harinya.

"Anjing menggigit mangsa ialah seekor anjing liar yang diambil dan dipelihara oleh bapanya, tiga minggu sebelum kejadian.

"Malah anjing yang dikutip bapa mangsa tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-Rabies," katanya lagi.

Tambahnya, pada 20 Mei, mangsa telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami kesakitan dan lemah di bahagian bahu kanan selama empat hari.

"Mangsa seterusnya dimasukkan ke wad pengasingan HUS sebelum kririkal selepas menunjukkan simptom halusinasi, demam dan hilang tindakan pada kedua-dua belah tangan," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 31 Mei 2018 jam 5.01 pagi semalam yang mana punca kematian disahkan Rabies Encephalitis.

"Sampel klinikal kes telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), KKM pada 31 Mei 2018 dan disahkan positif rabies.

"Ini menjadikan jumlah kes rabies yang disahkan berlaku melibatkan manusia pada 2018 sebanyak lima kes yang kesemuanya meragut nyawa," katanya.

Sejak pengisytiharan Rabies di Sarawak pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang telah disahkan dalam kalangan manusia adalah sebanyak 11 orang.

"Daripada jumlah tersebut, 10 kes telah meninggal dunia, manakala satu kes telah didiscaj dari hospital dengan defisit neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Sehingga 31 Mei lalu, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 31 kawasan di lima Bahagian di Sarawak sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies.

Bahagian terlibat adalah Serian (21 kawasan), Kuching (5 kawasan), Samarahan (3 kawasan) serta masing-masing satu kawasan di Sri Aman dan Sarikei.

Kawasan positif Rabies terbaharu telah diisytiharkan pada 28 Mei lalu di Kampung Selarat, Daerah Lundu, Kuching dan orang ramai digesa meningkatkan langkah berjaga-jaga.