Kadar racun perosak yang berlebihan dalam sayur-sayuran dan buah-buahan boleh memberi kesan bahaya terhadap kesihatan, khususnya sistem saraf manusia.

Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Vivien How, antara simptom apabila racun perosak berlebihan dalam badan kita adalah keresahan, hilang selera makan dan kemurungan.

Jelasnya, jenis racun perosak ini terbahagi kepada dua iaitu racun serangga dan racun kulat.

"Racun serangga seperti Organophosphate, Synthetic Pye­throid, Carbamate memberi kesan dengan menganggu sistem saraf kita

"Kesan ini lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding dewasa kerana proses detoks boleh mengambil masa hingga berminggu-minggu untuk racun itu dikeluarkan dari sistem badan," kata Dr Vivien kepada Astro AWANI pada Selasa.

Jelasnya, racun perosak yang toksik ini pada jangka masa panjang juga akan memberi kesan kepada organ hati, buah pinggang dan hormon endokrin manusia.

"Apabila ia memberi kesan kepada hormon endokrin, badan kita mudah mendapat penyakit metabolik seperti sakit jantung," katanya.

Menurut Dr Vivien lagi, kebanyakan pekebun yang ditemuinya menganggap penggunaan bahan racun perosak ini hanya sebagai 'ubat' dan bukan racun.

"Pekebun ini mahu pengeluaran yang tinggi. Mereka menggunakan racun perosak supaya tanaman mereka tidak dimakan serangga atau tumbuh kulat," katanya

Pada 14 September lalu, Jabatan Pertanian telah mengeluarkan arahan menghentikan import cili dari Vietnam setelah mendapati kadar sisa racun melebihi tahap yang dibenarkan.

"Negara-negara di Asia Tenggara yang sering mengalami cuaca hujan juga menjadi punca banyak tanaman terdedah dengan serangga dan kulat.

"Sebab itu, pekebun termasuk di pekebun di Vietnam cenderung untuk menggunakan racun perosak dengan kadar yang lebih tinggi," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Vivien mengesyorkan supaya usaha memberi pendedahan tentang bahaya racun perosak kepada pekebun turut dilaksanakan.

Ia termasuk mengajar teknik berkebun secara organik, iaitu menggunakan ekosistem semula jadi dalam mengawal serangga perosak.

Dia turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa membasuh sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum dimasak atau dimakan.