Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Hakim Zamri Bakar turut memerintahkan kerani bank, Johari Mohamad membela diri atas pertuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi, yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zamri membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Mahkamah menetapkan 4, 7 dan 8 Disember ini untuk perbicaraan.

Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Hamid, yang mewakili Mohd Rafizi, memaklumkan bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah sementara peguam Latheefa Koya, yang mewakili Johari, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan dua saksi pembelaan termasuk anak guamnya.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan Steve Chin.

Mohd Rafizi, 40, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 46, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

-- BERNAMA