'Perjanjian air' yang dicapai antara kerajaan persekutuan dan negeri Selangor tidak menjaga kepentingan rakyat, dakwa Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli hari ini.

Rafizi, yang memberikan komen dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Pandan, turut mempersoalkan kebijaksanaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu dengan mengatakan perjanjian itu adalah berat sebelah dan lebih menyebelahi kerajaan persekutuan dalam beberapa aspek .

Memetik dari salinan muat turun, MoU yang dimeterai minggu lalu, Rafizi mendakwa perjanjian itu tidak mengikat secara keseluruhan kecuali hal-hal berkaitan pembinaan Langat 2, sebuah loji rawatan air yang berharga jutaan ringgit.

Manakala aspek-aspek lain, terutamanya janji kerajaan persekutuan untuk memudahkan pengambilalihan kerajaan negeri daripada empat syarikat konsesi air, katanya tidak mengikat dan mungkin tidak akan dipatuhi.

"Bahagian yang mengikat hanya yang berkaitan dengan artikel 5(b) dalam MoU yang menyatakan dengan jelas bahawa tanggungjawab kerajaan Selangor adalah untuk 'memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan pembinaan LRAL2 perlu diberi dan hanya ini yang mengikat pihak-pihak terbabit dan tidak boleh dibatalkan'," kata Rafizi.

Tambah beliau, dengan kelulusan Langat 2, negeri Selangor telah kehilangan satu-satunya kelebihan yang ada dalam rundingannya dengan Kerajaan Persekutuan .

"Ini bermakna kerajaan negeri telah memberikan kerajaan satu-satunya 'senjata' mereka, iaitu Langat 2, sebuah perjanjian berat sebelah yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat Selangor"

Rafizi turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan Selangor tidak memerlukan Langat 2 untuk rancangan penyusunan semula air negeri itu.

Beliau juga mempersoalkan kesahihan perjanjian itu sebagai MOU yang dikatakan tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco negeri.

Di bawah MOU yang ditandatangani Rabu lepas itu, kerajaan negeri akan mengeluarkan satu perintah bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2 (Langat 2) dan sistem pengedaran (LRAL2) (Pakej 2A), dan memastikan bahawa semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan projek diluluskan dalam tempoh 30 hari.

Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor akan dibenarkan untuk mengambil alih aset air dari syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABBAS) dengan kos RM9.65bil.

Di samping itu, kerajaan persekutuan juga akan menyuntik dana bernilai RM2 bil kepada Selangor untuk memudahkan proses pengambilalihan itu.

Rafizi juga berkata beliau menganggap jumlah RM2 bil ini sebagai "tambahan" peruntukan yang digunakan untuk mengambil alih ekuiti konsesi, menjadikan jumlah kos sebenar bukan RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion.

Beliau berkata, jumlah sebenar kos perjanjian penstrukturan air di antara Selangor dan Putrajaya boleh melonjak kepada RM20 bil, selepas mengambil kira kos pembinaan Langat 2 yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM8 bil.

"Lebih tinggi kos projek Langat 2, lebih tinggi hutang dan tarif air yang rakyat perlu tanggung," kata Rafizi.

Untuk itu Rafizi menggesa Khalid untuk segera menjawab isu-isu ini yang beliau telah bangkitkan kerana ia akan menyebabkan lebih banyak spekulasi timbul.

MOU, yang dirunding sejak 2008, antara lain berusaha untuk menyusun semula penswastaan industri air Selangor dan membolehkan kerajaan negeri itu untuk mengambil kawalan penuh pengurusan air. Ini dikatakan dapat menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh penduduk di Lembah Klang.

Langkah Khalid menandatangani perjanjian itu, yang didakwa dibuat tanpa berunding dengan kepimpinan tertinggi PKR, telah menimbulkan kritikan terhadap beliau. Menteri Besar Selangor itu turut didakwa bertindak membelakangi rakan-rakannya dalam PKR dan telah mendapat faedah daripada perjanjian ini.

- Teoh El Sen & Vilashiiney Panneerselvam