Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berpuas hati dengan penyelesaian saman yang dicapai antaranya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung satu kenyataan yang dibuatnya pada tahun lalu berhubung urusniaga syarikat Boustead Holdings Berhad, Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd.

Syarikat Awan Megah Sdn Bhd dimiliki oleh pimpinan Wanita Umno, Raja Ropiaah Raja Abdullah manakala Astacanggih dikatakan dimiliki oleh Deepak Jaikishen.

Dalam satu kenyataan medianya, Rafizi yang membuat kenyataannya itu pada 29 Disember tahun lalu menyifatkan keputusan tersebut dicapai setelah beliau berpuas hati dengan penjelasan dan fakta-fakta terkini dari Zahid yang membuktikan bahawa dirinya tidak terbabit dalam keputusan Boustead Holding untuk membayar RM160 juta kepada Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd.

“Oleh itu, saya bersedia menarik balik kenyataan saya sebelum ini mengenai beliau dan urusniaga tersebut. Saya berharap bahawa kesediaan kami duduk berbincang dan saling menjelaskan kedudukan sesuatu perkara menjadi perkembangan sihat dalam arus politik negara,” kata Rafizi.

Menurutnya, sebagai seorang ahli politik, sudah menjadi tugasnya untuk mempersoalkan keputusan menteri dan penjawat awam yang difikirkan olehnya bertentangan dengan kepentingan awam, dan berdasarkan maklumat yang ada pada ketika itu.

“Sehingga saya mempersoalkan peranan menteri dan penjawat awam lain dalam urusniaga itu melalui kenyataan media bertarikh 29 Disember 2012, tidak ada sebarang penjelasan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana penjawat awam,” katanya lagi.

Namun, hanya setelah perkara itu dibangkitkan, barulah ada sedikit penerangan dan fakta-fakta lain mula didedahkan berdasarkan maklumat yang beliau perolehi.

Setelah Zahid memberikan penjelasannya itu, barulah diyakini dirinya (Zahid) tidak terlibat.

Namun demikian, menurut Rafizi lagi keputusan bersama yang dicapai bersama Zahid pada hari ini masih lagi tidak dapat membersihkan nama-nama penjawat awam yang masih perlu menjelaskan beberapa perkara seperti

1. Anugerah kontrak penswastaan Puspahanas oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Awan Megah Sdn Bhd apabila syarikat itu tidak layak sehingga ia terus bermasalah dan terbengkalai sehingga hari ini.

2. Keputusan Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad meluluskan urusniaga RM160 juta yang menguntungkan Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd sedangkan penilaian urusniaga menunjukkan Awan Megah Sdn Bhd tidak ada hakmilik ke atas tanah seluas 223 ekar yang diurusniagakan.

Beliau akan senantiasa meneruskan membawa isu-isu ini sehingga ada langkah dan penjelasan sewajarnya diambil.